Pages

Selasa, 27 September 2011

Antara Benci dan Rindu

 

HIDUP tidak selalunya indah, langit tidak selalunya cerah. Begitulah perumpamaan yang boleh aku tujukan untuk diriku. Kadang-kadang terlintas di hati, apakah salah dan dosaku sehingga aku diuji begini? Terpaksa melalui hari-hari yang mendatang penuh dengan penipuan dan kelukaan. Sungguh tidak kusangka, badai yang suatu ketika dahulu pernah bertandang dalam hidupku, kini kembali menyapa. Entah apalah silapku sehingga begini diriku diuji.









Terbayang di ruang ingatanku, wajah lelaki yang sudah lama ingin kulupakan. Semenjak keluarga lelaki itu datang merisikku tujuh tahun lepas, percaturan hidupku berubah. Semuanya ibu dan abah yang tentukan. Aku langsung tidak diberi ruang untuk membuat pilihan. Kadang-kadang aku rasakan diriku ini tidak layak untuk membuat keputusan sendiri. Walaupun ia sebenarnya berkaitan dengan hidup dan masa depanku. Sedangkan pada waktu itu usiaku sudah menjangkau dua puluh tiga tahun. Rasa kecewa dan jauh hati hanya kusimpan kemas dalam lipatan sanubari. Tiada seorang pun yang tahu betapa seksa hidupku selepas tarikh itu.

Kalaulah aku tidak bertemu kembali dengan Nisa, bekas adik iparku itu... sudah tentu aku tidak perlu melalui semua ini. Terpaksa berdepan dengan lelaki yang amat aku benci!!! Tapi apakan daya, takdir penentu segala.

Hidupku kembali hilang keceriaannya semenjak tiga bulan lepas....
“Ini Kak Ifa, kan?” tegur satu suara. Aku yang leka memilih makanan waktu itu segera berpaling. Sedikit kaget.
Gadis itu tersenyum riang. Menampakkan giginya yang putih berseri.
“Nisa?”
“Ya Allah Kak Ifa, akak pergi mana selama ni? Langsung tak dapat dijejak!” ucapnya lantas memelukku.

Aku kaget! Pinggan yang penuh berisi, hampir terlepas dek terkejut dengan tindakannya. Malu juga apabila banyak mata memandang ke arah kami berdua. Setelah agak lama barulah dia melepaskan aku.
“Akak pergi mana selama ni?” tanya Nisa lagi.
“Akak sambung belajar Nisa. Kat London.”
“Kenapa tak contact kami langsung? Kalau ya pun marahkan abang, janganlah sampai kami disisihkan....”
“Tak, akak tak bermaksud begitu. Errr… kita cari tempat, Nisa. Susah cakap kat sini.”

Nisa lantas bersetuju dengan sarananku. Kami mengambil tempat yang sedikit tersorok. Mudah untuk kami berbual. Waktu makan tengah hari itu dipenuhi dengan menjawab soalan-soalan Nisa yang tidak henti-henti keluar dari mulutnya. Tetapi semua itu hanya berkisarkan kehidupan yang aku jalani dalam tempoh lima tahun selepas berpisah dengan abangnya.

Sesekali Nisa ada juga bertanyakan perihal aku dengan abangnya. Tetapi aku hanya mendiamkan diri. Bagiku sudah tidak ada keperluan untuk aku menjawabnya. Semuanya sudah berlalu. Aku tidak mahu mengingatinya lagi. Dan bekas adik iparku itu seolah-olah memahaminya.

Kami berpisah apabila waktu makan tengah hari tamat. Sebelum berpisah, Nisa ada meminta nombor telefon dan alamatku. Aku terpaksa turutkan kerana tidak mahu menghampakannya. Sangkaku itu adalah kebetulan dan tidak mungkin ada apa-apa yang akan berlaku selepas pertemuanku dengan Nisa. Tetapi nampaknya lain pula yang terjadi. Keesokan harinya aku telah dihubungi oleh seorang wanita yang cukup aku kenal. Walaupun sudah lima tahun berpisah tetapi kelembutan suaranya masih jelas di ruang ingatanku. Itulah bekas ibu mentuaku, Puan Maria. Terlintas di fikiranku, tentulah Nisa yang memberikan nombor telefonku kepadanya.

Lama aku berbual dengan bekas ibu mentuaku itu. Wanita itu tidak membenarkan aku meletakkan telefon. Rindu padaku katanya. Ah, sesungguhnya aku turut merinduinya.

Selepas puas berbual, Puan Maria meminta untuk berbual dengan ibu pula. Aku hanya turutkan kehendak Puan Maria. Selepas itu aku tinggalkan ibu di situ. Malas hendak ambil pusing akan perbualan mereka berdua. Hal orang tua-tua tidak elok kalau orang muda masuk campur. Lagipun aku sendiri perlu melakukan persediaan untuk mengajar esok.

SEKALI lagi ia tidak berhenti di situ saja. Keesokan harinya selepas pulang ke rumah, ibu meminta aku ke ruang tamu. Kulihat abah sudah sedia menunggu. Aku hanya duduk tanpa banyak soal. Selepas mendengar kata-kata ibu, aku seakan terhenyak di tempat duduk. Kata ibu, Puan Maria mengajak kami ke rumahnya pada hujung minggu ini. Dan mereka telah pun bersetuju. Puas aku memberi alasan untuk mengelak, tetapi tidak diterima oleh ibu dan abah. Mereka memang beria-ia hendak aku turut serta. Akhirnya selepas berlaku perang mulut antara aku dengan ibu dan abah, barulah aku bersetuju.


0 komentar:

Posting Komentar